Buah tin banyak khasiat dan kaya nutrien | Tanaman Pokok Buah Tin

Tanaman Pokok buah tin malaysia

Tanaman Pokok buah tin malaysia
 

Mohd Norizi Mohd Norizi Author
Title: Buah tin banyak khasiat dan kaya nutrien
Author: Mohd Norizi
Rating 5 of 5 Des:
  Biarpun buah tin kering boleh dibeli sepanjang tahun, buah tin segar memiliki rasa unik dengan tekstur segar yang membuatkan sesiap...


Biarpun buah tin kering boleh dibeli sepanjang tahun, buah tin segar memiliki rasa unik dengan tekstur segar yang membuatkan sesiapa saja teringin untuk menjamahnya.

Isinya penuh dengan biji rangup, mempunyai rasa manis dan sedikit liat ketika dikunyah, menjadikan buah tin antara makanan popular di seluruh dunia.

Ia buah yang digemari ramai sejak zaman lampau dan bangsa Rom purba menganggapnya buah suci hingga mereka membuat undang-undang melarang buah itu dieksport ke luar negara.

Buah tin memiliki warna berbeza mengikut jenisnya dan kebanyakan yang dijual di pasaran adalah dalam bentuk kering supaya ia boleh dinikmati sepanjang tahun.

Bagi memilih buah tin segar terbaik dan penuh antioksidan, pilihlah yang masak sepenuhnya. Sekiranya memilih buah tin kering, hanya beli yang lembut, bebas kulat dan harum baunya.

Buah tin segar perlu disimpan di dalam peti ais dan diletakkan dalam bekas bertutup bagi mengelak ia dirosakkan oleh makanan lain ataupun mengering.

Selain rasanya yang sedap, buah tin juga menawarkan khasiat kepada kesihatan berikutan kaya pelbagai nutrien penting. Di sini disenaraikan kebaikan buah tin kepada kesihatan.

Membantu menurunkan tekanan darah tinggi

Buah tin kaya dengan potasium iaitu sejenis mineral yang membantu mengawal tekanan darah. Ramai dalam kalangan kita kurang mengambil buah atau sayuran secukupnya, sebaliknya lebih banyak makan makanan penuh kandungan garam hingga menyebabkan tekanan darah meningkat.

Makanan yang kaya potasium seperti buah tin mampu memberikan kesan ketara kepada kesihatan diri sekiranya diamalkan secara konsisten dalam diet harian.

Menurunkan berat badan

Buah tin adalah sumber serat yang baik dan mampu membantu penghadaman selain memberi rasa kenyang berpanjangan, seterusnya mengawal berat badan.

Melindungi diri dari barah payu dara

Pengambilan serat yang tinggi mampu melindungi wanita yang sudah menopaus daripada barah payudara. Satu kajian membabitkan 51,823 wanita menopaus selama lapan tahun mendapati terdapat pengurangan risiko sehingga 34 peratus bagi kumpulan yang mengambil serat yang tinggi dalam diet mereka.

Membantu pesakit diabetes

Daun buah tin juga mempunyai peranan dalam menjaga kesihatan kerana ia memiliki bahan anti diabetik yang mampu mengawal jumlah insulin diperlukan bagi pesakit diabetes yang mengambil suntikan insulin.

Menjaga kesihatan kardiovaskular

Daun buah tin juga mengandungi bahan yang mampu menyingkirkan lemak dalam saluran darah serta melindungi diri dengan menghalang pertumbuhan sel barah.

Melindungi diri dari kemerosotan makular

Buah tin mampu melindungi penglihatan yang merosot disebabkan faktor usia semakin lanjut.

Mengelak masalah sembelit

Kandungan serat yang tinggi iaitu kira-kira lima gram serat bagi tiga biji buah tin membantu melancarkan fungsi usus, seterusnya mengelak sembelit. Bukan saja usus menjadi sihat, buah tin turut menyelesaikan masalah perut meragam dan juga cirit-birit.

Menghindari kanser kolon

Serat yang ada dalam buah tin merangsang penyingkiran radikal bebas dan bahan penyebab kanser dalam kolon.

Menguatkan tulang

Buah tin kaya dengan kalsium dan fosforus. Bukan saja menguatkan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis, ia juga menggalakkan pertumbuhan tulang dan memperbaiki bahagian tulang yang rosak.

Melegakan sakit tekak

Lendir yang banyak di dalam buah tin memiliki sifat penyejuk dan mampu merawat sakit tekak serta melindungi tekak daripada masalah kesihatan. Malah, lendir itu adalah jus semula jadi yang melegakan kesakitan pada kerongkong dan peti suara.

sumber hmetro

About Author

Advertisement

Post a Comment

 
Top